FELINE SOCIETY OF MALAYSIA

  
BERITA HARIAN 19 NOV 2007 Edisi Sentral: Pertunjukan Kucing Antarabangsa Malaysia 2007
bermula Jumaat





SPESIES BERMUTU: Pertandingan Kucing Antarabangsa Malaysia
2007 bakal menghimpunkan peminat dari seluruh dunia.




KUALA LUMPUR: Sebanyak 250 kucing pelbagai baka menyertai Pertunjukan
Kucing Antarabangsa Malaysia (MyCats) 2007 di Pusat Konvensyen dan
Pameran Matrade, Jalan Duta pada Jumaat hingga Ahad ini.

Program anjuran Pertubuhan Feline Malaysia (PFM) dan Kelab Kucing Borneo
itu antara pertunjukan kucing terbesar di Asia yang mendapat sokongan
Kementerian Kesenian dan Warisan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Perasmian Mycats 2007 akan disempurnakan isteri Menteri Wilayah
Persekutuan, Datin Seri Siti Noriah Ana Razak yang juga penaung acara.


Presiden Feline yang juga pengerusi penganjur, Dr Moonyza Akmal, berkata
program itu mampu menghimpunkan peminat kucing serata dunia, sekali gus
berkongsi maklumat dan memberi pendedahan mengenai pemeliharaan haiwan
kesayangan.

Beliau berkata, lebih separuh penyertaan kali ini dari luar negara termasuk
Thailand, China, Filipina dan Australia dengan jangkaan lebih 5,000
pengunjung hadir sepanjang program tiga hari itu.

Selain menghimpunkan ramai peserta luar, lebih 40 jenis baka kucing seperti
Parsi, Maine Coon, Ragdoll, Abyssinian, European Burmese, Oriental, American
Shorthair, American Curl, British Shorthair dan jenis domestik akan mengambil
bahagian.

"Kita harap orang ramai menggunakan kesempatan ini melihat sendiri keunikan
keluarga kucing yang terdiri daripada pelbagai baka sama ada tempatan atau
jenis yang sukar ditemui," katanya.

Kemuncak acara adalah pertandingan Best of The Best bagi memilih kucing
terbaik yang akan diadili lapan pakar kucing antarabangsa dengan mata
berdasarkan pemarkahan tertentu.

"Setiap kucing dinilai berdasarkan persembahan, bentuk tubuh, bulu, warna
dan kesihatan oleh juri antarabangsa yang diundang khas dan kita turut
memberikan panduan penjagaan dan pemeliharaan kucing supaya kekal sihat.

"Masyarakat juga perlu memupuk kesedaran supaya menyayangi kucing, sekali
gus membantu mengurangkan jumlah kucing terbiar di jalanan atau tidak
menganiaya haiwan berkenaan sesuka hati," katanya.

Pada masa sama, pihaknya berharap ada syarikat korporat menjadi
sebahagian penaja program. Tambahan pula acara seperti ini boleh dianggap
sokongan terhadap kebajikan haiwan kesayangan.

"Kami masih memerlukan tajaan kerana program seumpama ini memerlukan
komitmen besar terutama membabitkan penyertaan orang luar dan kami amat
mengalu-alukan sokongan syarikat korporat," katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program atau
berminat menjadi penaja boleh menghubungi 019-6637654 atau layari www.felinemalaysia.com

About Us | The Committees | Activities | Become A Member | Hall Of Fame | Vets In Malaysia | Exhibitors Corner | FSM Related | Articles | Album | F.A.Q